KUALA LUMPUR 15 Jun — Eksport barangan buatan Malaysia dijangka meningkat antara 3.5 peratus pada tahun ini hingga 6.0 peratus pada 2015, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Mukhriz Mahathir berkata eksport barangan buatan Malaysia keseluruhannya dijangka meningkat kepada RM425.8 bilion pada tahun ini berbanding RM411.4 bilion yang dicatatkan pada tahun lepas.
Beliau berkata eksport barangan buatan Malaysia ke China pula dijangka meningkat pada kadar 3.5 peratus iaitu RM52.8 bilion pada tahun ini berbanding RM51.0 bilion pada 2009.
"Selaras dengan ini, pelbagai pameran perdagangan, misi pelaburan perdagangan, pemasaran khusus dan promosi perdagangan di peringkat antarabangsa dilaksanakan pada 2010 oleh agensi-agensi Miti.
"Ini bertujuan memperkenalkan dan mempromosi barangan Malaysia ke serata dunia serta pemadanan perniagaan antara syarikat tempatan dengan asing untuk meningkatkan keupayaan rantaian pengedaran syarikat tempatan,” katanya semasa menjawab soalan Sim Tong Him (DAP-Kota Melaka) di sini. — Bernama