REMBAU 20 Julai - Lima lagi sektor akan ditambah dalam Sistem Sokongan Perlesenan Perniagaan Elektronik (BLESS) dalam fasa kedua untuk memudahkan urusan pelabur membuat permohonan perlesenan perniagaan melalui Internet.
Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Perlaksanaan, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Shukry Mohd. Salleh berkata, dalam fasa pertama yang diperkenalkan pada 2007, hanya tiga sahaja sektor yang mengunakan sistem berkenaan meliputi perkilangan, perkhidmatan dan pembinaan.
Jelasnya, antara lima sektor yang ditambah melalui fasa kedua itu meliputi pendidikan, pelancongan, logistik, kesihatan dan pemborongan dalam usaha merancakkan lagi jumlah pelaburan tempatan dan asing di negara ini.
''Sistem ini kita jangkakan akan mula dinikmati oleh pihak pelabur menjelang tahun depan. Setakat ini sistem tersebut hanya digunakan di Lembah Klang sahaja dalam fasa pertama.
''Pada masa sama, kita akan memperluaskan sistem di seluruh negeri lain dalam tempoh masa terdekat dalam memberikan kemudahan kepada pelabur untuk datang ke negara ini ," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Sistem Sokongan Perlesenan Perniagaan Elektronik (BLESS) di sini hari ini.
Jelas Shukry, fasa pertama dan fasa kedua sistem ini akan siap sepenuhnya pada Jun 2013 berikutan permulaan sistem tersebut sedang dibina pada Julai ini.
''Dalam fasa kedua BLESS, pemohon bukan sahaja boleh memohon lesen perniagaan untuk mereka yang akan memulakan perniagaan, tetapi juga kepada peniaga yang mahu memperbaharui lesen perniagaan mereka," katanya.
Menurut Shukry, dengan aplikasi sistem ini, pemohon tidak perlu lagi berhadapan dengan masalah birokrasi yang rumit dan menyebabkan perniagaan mereka lambat dijalankan.
Jelasnya ia merupakan satu inisiatif Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) yang ditubuhkan pada 7 Julai 2007 khusus untuk memudahkan pelabur dan peniaga menjalankan bisnes di Malaysia.