Hitam Biru Perang Set Semula Decrease Font Reset Font Increase Font Red Scheme Purple Scheme Yellow Scheme Blue Scheme W3C Disability Access Text to Voice
   
  Contact Us | FAQ | Links | Help | Sitemap  
 
Nilai mampu cecah RM45.75 bilion

Nilai mampu cecah RM45.75 bilion

Utusan Malaysia

26 Januari 2012
 

KUALA LUMPUR 26 Jan. - Perdagangan dua hala Malaysia-India diunjur boleh mencecah AS$15 bilion (RM45.75 bilion) tahun ini, kata Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, Vijay K. Gokhale hari ini.

Beliau berkata, pergerakan barangan dan perkhidmatan antara kedua-dua negara telah mencatatkan rekod AS$12 bilion (RM36.6 bilion) tahun lepas.
Jumlah dagangan antara Kuala Lumpur dan New Delhi pada 2010 ialah AS$7.1 bilion (RM21.65 bilion).

Dengan pelaksanaan penuh Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif India-Malaysia (CECA), adalah lebih mudah untuk mencapai sasaran AS$15 bilion (RM45.75 bilion) jumlah dagangan tahun ini, kata beliau.

Gokhale, bagaimanapun berkata iklim ekonomi global mesti kekal stabil dan terus berkembang untuk merealisasikan matlamat dagangan dua hala ini, yang dijangka dicapai pada 2015 di bawah CECA.

"Ekonomi Malaysia dan India bakal berkembang pesat. Meskipun dengan kelembapan ekonomi tahun lepas, India disifatkan sebagai antara lima destinasi eksport yang pesat meningkat untuk Malaysia.

"Eksport dari Malaysia ialah kira-kira AS$7.5 bilion (RM22.87 bilion), melonjak 33 peratus daripada 2010," kata beliau kepada Bernama di luar majlis menaikkan bendera di Kedutaan Tinggi India di sini hari ini.

Gokhale berkata, walaupun pergerakan barangan dan perkhidmatan masih lagi berpihak kepada Malaysia, eksport India turut meningkat tahun lepas.
Tahun ini, Malaysia boleh menjangkakan lebih banyak pelabur dari India memandangkan banyak pertubuhan telah melahirkan minat, menerusi suruhanjaya tinggi, untuk menubuhkan perniagaan di Malaysia.

"Rangka kerja menerusi perjanjian perdagangan memberikan banyak peruntukan dan kemudahan baharu untuk memudahkan pelaburan baharu.

"Tahun lepas, terdapat pelaburan baharu iaitu dari syarikat bioteknologi terkemuka India, Biocon Ltd, dan Manipal University, yang akan mewujudkan cawangannya di Negeri Sembilan.

"Bukan hanya syarikat India, syarikat-syarikat Malaysia juga akan terus merebut peluang perniagaan di India," kata beliau.

Gokhale berkata, tahun ini akan sarat dengan agenda-agenda susulan inisiatif yang dicetus menerusi lawatan rasmi oleh Menteri Luar India, S.M. Krishna ke Malaysia dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ke India.

Beliau juga berkata, kemasukan pelancong dari India ke Malaysia turut dijangka meningkat tahun ini daripada 700,000 pelawat tahun lepas.

"Yang pastinya, pelancong Malaysia ke India akan turut bertambah," kata beliau. - Bernama

 

 

 


 

Last Updated : 29 January 2012
image