| Abdullah Puji Pencapaian Awal Pasukan Petugas
Berita Harian, 1 Mac, 2008.
DATUK Seri Abdullah Ahmad Badawi bangga dengan pencapaian awal Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) yang ditubuhkan tahun lalu bagi mempermudahkan urusan menjalankan perniagaan di negara ini.
Perdana Menteri berkata, walaupun Pemudah hanya berusia setahun tetapi pelbagai proses utama berkaitan perniagaan daripada pengeluaran permit untuk pekerja mahir hingga kepada kelulusan bagi jentera sudah dapat ditingkatkan.
"Saya mengalu-alukan sumbangan Pemudah dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada setiap ahli pasukan petugas ini di atas semangat dan dedikasi yang ditunjukkan," katanya dalam perutusan sempena penerbitan Laporan Tahunan 2007 Pemudah yang dikeluarkan di sini, semalam.
Laporan tahunan pertama itu dilancarkan Ketua Setiausaha Negara yang juga Pengerusi Bersama Pemudah, Tan Sri Sidek Hassan.
Abdullah berkata, beliau mengumumkan pembentukan Pemudah pada 7 Februari tahun lalu bagi melahirkan satu perkongsian efektif antara sektor awam dan swasta negara dalam menangani isu yang menjadi penghalang kepada persekitaran perniagaan di Malaysia.
Katanya, dengan bekerjasama anggota Pemudah yang berwibawa dapat berkongsi pengalaman luas masing-masing bagi mencapai misi yang sama, iaitu meningkatkan daya saing negara.
"Pencapaian 2007 jelas menggambarkan potensi faedah hasil daripada perkongsian berkenaan," katanya.
Abdullah yang juga Menteri Kewangan berkata, perniagaan kini diusahakan dalam suasana yang semakin mencabar dengan persaingan di peringkat global menjadi semakin rumit.
Justeru, katanya, perniagaan perlu diberi kuasa dan keupayaan bagi mengekalkan persekitaran keusahawanan, pekerjaan dan ekonomi negara yang sihat.
"Pada masa yang sama, tugas kerajaan dan sektor awam sebagai badan pengawal perniagaan perlu bergerak seiring dengan peredaran masa," katanya. |