| Kakitangan Awam Rasuah Disisih, Singkir
Berita Harian, 1 Mac, 2008.
KAKITANGAN perkhidmatan awam yang terbabit dengan rasuah akan dipinggirkan sebelum disingkirkan selepas mahkamah mendapati mereka bersalah, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan.
Sidek yang juga Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) berkata, pendekatan itu sejajar dasar toleran sifar terhadap rasuah yang sedang diberi penekanan oleh kerajaan bagi menangani gejala itu.
“Saya ingin nyatakan jika mahkamah belum membuat keputusan, kita akan menggunakan peraturan yang ada untuk memastikan mereka tersisih dan apabila mahkamah membuat keputusan kita akan memastikan jalan keluar untuk mereka.
“Kita tidak akan menerima mereka (yang terbabit dengan rasuah),” katanya pada sidang media selepas melancarkan Laporan Tahunan Permudah, di sini, semalam.
Sidek berkata, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, amat komited terhadap usaha membasmi gejala rasuah dan ini terbukti dengan komitmen Badan Pencegah Rasuah (BPR) menjalankan siasatan.
Bagaimanapun, beliau berkata kesungguhan kerajaan menangani rasuah bukan bermakna gejala itu berleluasa dalam perkhidmatan awam.
“Saya tidak fikir masalah rasuah berleluasa. Kita ada 1.2 juta kakitangan awam dan tidak semuanya adalah malaikat, ada juga yang tersasar. Apabila saya kata toleran sifar, ia bermaksud kita tidak menerima semua ini (pengamal rasuah),” katanya. |