PEMUDAH Wujud 5 Kumpulan Fokus

Berita Harian, 1 Mac, 2008.
Oleh : Wan Hazmir Bakar


PUTRAJAYA: Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) sudah mewujudkan lima kumpulan fokus bagi mengenal pasti penambahbaikan yang boleh dilaksanakan bagi meningkatkan kedudukan Malaysia dalam senarai Laporan Melakukan Perniagaan Bank Dunia.

Lima bidang kumpulan fokus itu ialah bagi menguat kuasa kontrak; perdagangan rentas sempadan; mendaftarkan hartanah; pembayaran cukai; dan penutupan perniagaan.

Pemudah, dalam Laporan Tahunan 2007 yang dikeluarkan semalam, menyatakan langkah itu diambil berikutan petunjuk jelas bahawa penambahbaikan adalah perlu bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan sistem penyampaian kerajaan.

Dalam Laporan Melakukan Perniagaan 2008 Bank Dunia itu, kedudukan Malaysia dalam lima aspek berkenaan berkurang dari satu hingga tujuh anak tangga walaupun kedudukan negara secara keseluruhannya meningkat satu tahap dari 25 kepada 24.

Kumpulan fokus bagi menguat kuasa kontrak dipertanggungjawab mengambil langkah mempercepatkan perbicaraan dan pembuangan kes komersial dengan mengurangkan tempoh menguatkuasakan sesuatu kontrak yang pada masa ini selama 600 hari kepada 200 hari, iaitu penambahbaikan sebanyak 66 peratus.

Kumpulan fokus bagi perdagangan rentas sempadan pula bertanggungjawab mengurangkan tempoh urusan eksport dari 18 hari kepada enam hari manakala urusan import dari 14 hari kepada lima hari.

Kumpulan fokus bagi mendaftarkan hartanah pula ditugaskan mengurangkan tempoh pendaftaran hartanah kepada 50 hari saja berbanding 144 hari sekarang.

Antara inisiatif yang ditimbang bagi mencapai matlamat itu ialah meringkaskan borang bagi mendaftar hartanah; mewujudkan prosedur sama di semua pejabat tanah; dan menerbit Buku Panduan untuk Pendaftaran Hartanah.

Kumpulan fokus berkaitan pembayaran cukai pula ditugaskan merumus prosedur bagi memudahkan urusan pembayaran cukai pendapatan, cukai kastam dan cukai lain.

Kumpulan fokus untuk penutupan perniagaan pula antara lain mensasarkan pengurangan tempoh penutupan sesuatu perniagaan dari 2.3 tahun kepada setahun dan penurunan kos dari 15 peratus kepada 3.5 peratus daripada pendapatan per kapita.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Negara dan Pengerusi Bersama Pemudah, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, berkata usaha penambahbaikan dalam lima bidang berkenaan adalah komitmen berterusan pasukan itu untuk meningkatkan daya saing negara dalam perniagaan.

"Kerajaan sudah menyatakan komitmen bagi memastikan perkhidmatan awam yang responsif dan menunaikan janji serta menyampaikannya secara berintegriti dan konsisten," katanya dalam ucapan pada majlis pelancaran Laporan tahunan 2007 Pemudah, di sini, semalam.

Sehubungan itu, katanya, perkhidmatan awam negara akan memberi tumpuan kepada beberapa bidang bagi mencapai matlamat itu termasuk membaik pulih perkhidmatan di pejabat tanah, pihak berkuasa tempatan dan agensi di barisan hadapan, serta menyemai budaya berkhidmat dengan integriti dan toleran sifar terhadap perbuatan rasuah.

"Satu lagi bidang yang sektor awam dan swasta harus tangani secara bersama ialah isu persepsi terhadap perkhidmatan awam yang boleh menjejaskan daya saing negara," katanya.

 
 
 
Copyright © 2007. SMPKE Unit, Prime Minister's Office. All rights reserved.