| Pemudah Sedia Prosedur Percepat Kelulusan Lesen
Berita Harian, 4 Oktober, 2007.
Magendran Rajagopal
PASUKAN Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) sedang menyiapkan inisiatif penting, iaitu Perkhidmatan Sokongan Elektronik Pelesenan Perniagaan (BLESS) bagi mempercepatkan lagi proses kelulusan lesen perniagaan di negara ini. Ketua Setiausaha Negara yang juga Pengerusi Bersama Pemudah, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, berkata inisiatif berkenaan akan membolehkan pewujudan saluran secara dalam talian sehenti bagi menyelaraskan proses berkenaan.
Beliau berkata, selain memudahkan proses permohonan, BLESS yang dilaksanakan secara berperingkat juga akan mengurangkan masa bagi pengeluaran lesen serta bilangan lesen yang diperlukan.
Buat permulaan, katanya, BLESS akan menangani keperluan sektor pembuatan dan industri perhotelan sebelum diperluaskan kepada sektor lain.
“Inisiatif ini akan meningkatkan dengan ketara sistem penyampaian Negara kepada syarikat yang menjalankan perniagaan di Malaysia.
“Pada asasnya ia menyediakan prosedur permohonan lesen lebih lancar berbanding amalan sebelum ini yang mengambil masa terlalu lama”, katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, semalam.
Mohd Sidek berkata, Pemudah akan terus berusaha memperkenalkan penambahbaikan yang bermanfaat dalam sistem penyampaian kerajaan, malah kepada orang awam secara keseluruhannya.
Bagi tujuan itu, katanya orang awam dipelawa untuk mengemukakan pandangan dan cadangan mengenai cara untuk memudahkan serta meningkatkan kecekapan serta daya saing menjalankan perniagaan di negara ini.
“Maklum balas daripada masyarakat perniagaan, ahli akademik dan orang ramai akan dapat memastikan penambahbaikan bersesuaian dan bermakna dapat dilaksanakan untuk meningkatkan rakan kerja perniagaan di Malaysia', katanya.
Mohd Sidek menegaskan, setiap maklum balas atau cadangan akan dijawab dalam tempoh tiga hari selepas diterima.
“Pandangan dan cadangan boleh disampaikan menerusi laman web www.pemudah.gov.my .
“Matlamat Pemudah ialah untuk meningkatkan daya saing ekonomi Negara bagi membolehkan setiap rakyat turut menikmati kekayaan sama seperti masyarakat perniagaan,' katanya.
Mohd Sidek berkata, sejak ditubuhkan lapan bulan lalu, Pemudah yang membabitkan gandingan 23 profesional sektor awam dan swasta bagi menambah baik sistem penyampaian kerajaan serta merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi Negara sudah memperkenalkan beberapa pendekatan berkesan.
Beliau berkata, ini termasuk membenarkan penilaian peribadi bagi tujuan anggaran bayaran duti setem, sekali gus mempercepatkan pemindahan hak milik hartanah sementara menunggu penilaian muktamad oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Hartanah.
|