| TOL Tanah Terbiar
PEMUDAH Kenal Pasti Kaedah Tambah Makanan
Berita Harian, 1 Mac, 2008.
Oleh : Haika Khazi dan Zazali Jamian
PUTRAJAYA: Kerajaan sedia mempertimbangkan pemberian status lesen menduduki sementara (TOL) kepada orang ramai yang berhasrat mengusahakan tanah terbiar sebagai kawasan pengeluaran makanan di negara ini.
Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang juga Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah), Tan Sri Sidek Hassan, berkata langkah berkenaan perlu kerana kerajaan mendapati banyak tanah TOL kini terbiar dan belum dimanfaatkan sepenuhnya
Beliau berkata, langkah itu sejajar arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya Pemudah mengenal pasti kaedah sesuai bagi membolehkan tanah TOL dimanfaatkan untuk pengeluaran makanan.
"Kita dapati banyak tanah terbiar atau tanah kerajaan yang tidak digunakan... jadi kita berharap tanah ini boleh dimanfaatkan sepenuhnya oleh orang ramai sebagai kawasan pertanian bagi pengeluaran makanan.
"Bagaimanapun, kita perlu berbincang kerana soal tanah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri," katanya selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2007 kepada 546 kakitangan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas saranan Abdullah supaya Pemudah segera mencari alternatif bagi membantu kerajaan menang ani krisis kekurangan bekalan makanan terutama beras yang semakin meruncing di negara ini.
Selain itu, Sidek turut menyarankan orang ramai termasuk kakitangan kerajaan yang mendiami kuarters kerajaan di Putrajaya supaya melaksanakan amalan menanam sayur-sayuran dan buah-buahan di sekitar kediaman masing-masing.
"Memang mereka yang tinggal di pangsapuri tidak mempunyai tanah, tetapi saya masih ingat ketika tinggal di seberang laut seperti di Jepun, mereka ada menanam sayur di pangsapuri mereka. Mungkin kita juga boleh meniru amalan baik itu.
"Bagi mereka tinggal di rumah teres, kegiatan bercucuk tanam ini boleh diamalkan dan pada masa sama, kita juga perlu memberi galakan kepada ahli keluarga kita yang mempunyai tanah terbiar mengusahakannya," katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Sidek meminta penjawat awam membudayakan tabiat mendengar pandangan dan sedia menerima teguran orang ramai dalam usaha menyelesaikan isu yang dibangkitkan secepat mungkin.
"Orang ramai ialah mata dan telinga kita, jadi kalau mereka membuat aduan kita perlu dengar dan selesaikan. Saya percaya sekiranya budaya ini dihayati dan dilaksanakan maka pencapaian perkhidmatan awam negara kita akan lebih cemerlang," katanya.
Sementara itu, Pengarah Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia cawangan Pulau Pinang, Noor Asa Elang, 38, yang terpilih menerima anugerah itu berkata, ia akan menjadi pendorong dalam melaksanakan tanggungjawabnya.
"Saya gembira dan bangga kerana terpilih untuk menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada tahun ini dan berjanji akan terus memberikan perkhidmatan yang terbaik dalam melaksanakan tugas saya," katanya.
Juruteknik di Pejabat Perdana Menteri, Emry Faris Kamaruddin, 32, turut menyatakan rasa gembiranya kerana sumbangannya selama enam tahun berkhidmat di situ dihargai kerajaan.
"Anugerah ini membantu meningkatkan motivasi saya untuk bekerja lebih tekun pada masa akan datang dan bukan hanya untuk tahun ini saja," katanya. |