Usah Terbiasa Dengan Sikap 'Cukuplah' : PM

Berita Harian, 8 Januari, 2008.

KPUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, semalam mengajak kakitangan awam berazam meningkatkan prestasi kerja masing-masing dan sistem penyampaian perkhidmatan awam bagi memenuhi aspirasi rakyat dan mencapai kejayaan lebih cemerlang berbanding tahun lalu.

Berucap pada perhimpunan bulanan pertama Jabatan Perdana Menteri bagi tahun ini di Dataran Perdana di sini, semalam, Abdullah berkata, kakitangan awam tidak boleh berpuas hati dengan kejayaan lalu, sebaliknya terus menambah nilai perkhidmatan sejajar matlamat Misi Nasional.

Sambil mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada kakitangan awam, beliau berkata, kesungguhan memperbaiki sistem penyampaian perkhidmatan awam tahun lalu seperti penubuhan Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) berjaya mengurangkan kritikan yang ada kalanya menghina.

"Memang benar sistem penyampaian perkhidmatan awam sudah bertambah baik tahun lalu. Saya ucapkan terima kasih dan tahniah kepada semua. Tetapi kita tidak boleh mengambil sikap 'cukuplah, ok dah' kerana sikap ini tak dapat menambah nilai kepada apa kita usahakan.

"Misi Nasional menuntut kita menambah nilai kerja yang kita laksanakan dari segi produk dan sistemnya. Maka, mesti jadi satu kesungguhan bagi kita sebab ia Misi Nasional. Kita juga mesti tambah nilai pada diri dari segi ilmu pengetahuan yang terkini supaya dapat gunakan untuk membantu kita meningkatkan lagi kecemerlangan dan kejayaan.

"Maka marilah kita berazam meningkatkan kualiti pencapaian yang kita peroleh selama ini, cara kita bekerja dan diri kita kerana kesungguhan ini akan menghasilkan apa yang dikehendaki rakyat dan apa juga yang kita sendiri kehendaki," katanya sambil menegaskan ia bukan seperti azam tahun baru lain yang biasanya dilupakan belum pun tiga bulan berlalu.

Hadir sama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Abdullah yang juga Menteri Kewangan berkata, walaupun petunjuk ekonomi baik dan boleh dibanggakan, wujud banyak masalah lain yang perlu diberi perhatian dan diatasi segera dengan usaha bersungguh-sungguh.

Katanya, kekurangan bekalan minyak masak yang berlaku ini sedangkan negara menghasilkan banyak minyak sawit adalah antara masalah yang perlu diatasi segera demi kepentingan rakyat.

"Maka saya harap pastikanlah tahun ini lebih baik daripada tahun lalu dalam semua aspek. Atas segala yang saudara saudari sudah berikan tahun lalu, saya ucapkan terima kasih dan atas apa yang saudara hendak berikan tahun ini saya juga mengucapkan terima kasih dan meletakkan setinggi-tinggi harapan terhadap kemampuan dan kebolehan saudara untuk meningkatkan lagi kejayaan kita itu," katanya.

 
 
 
Copyright © 2007. SMPKE Unit, Prime Minister's Office. All rights reserved.