Berita Harian, 17 Ogos, 2007.
PUTRAJAYA: Kerajaan akan melaksanakan secepat mungkin beberapa pendekatan yang dicadangkan Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) bagi meningkatkan kecekapan sistem penyampaian awam berkaitan urusan perniagaan di negara ini.
Antara pendekatan itu ialah pelaksanaan sistem pusat sehenti dalam talian yang dikenali sebagai Perkhidmatan Sokongan Elektronik Pelesenan Perniagaan (Bless) bagi memendekkan proses kelulusan dan pengeluaran serta pemantauan lesen perniagaan.
Pelaksanaan Bless secara berperingkat untuk sektor berkaitan akan dimulakan dengan sektor pembuatan pada Oktober hingga November dan industri perhotelan dari pertengahan Oktober hingga Disember.
 |
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (gambar) , ketika mengumumkan perkara itu, di sini semalam, berkata beliau gembira dengan cadangan yang dikemukakan Pemudah serta beberapa kejayaan yang dicapai pasukan petugas khas itu sehingga ini.
Sambil menyatakan penghargaan kepada anggota Pemudah dan harapan supaya mereka meneruskan tugas berkenaan, Abdullah berkata kejayaan itu bukan saja memudahkan urusan kelulusan lesen perniagaan tetapi juga mengurangkan kos berniaga di Malaysia serta kemungkinan rasuah.
“Hasil yang diperoleh jawatankuasa ini baik dan lebih besar daripada apa yang saya jangkakan dan ini bermakna mereka berusaha bersungguh-sungguh bagi mencapainya.
“Saya harap apa juga keputusan yang diputuskan itu akan difahami semua dan kita akan laksanakan secepat mungkin," katanya pada sidang media selepas majlis taklimat dan penyerahan laporan kemajuan Pemudah bagi enam bulan lalu, di pejabatnya, di sini.
Taklimat dan laporan itu disampaikan Pengerusi Bersama Pemudah yang juga Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan Presiden Persekutuan Pengeluar Malaysia (FMM), Tan Sri Yong Poh Kon.
|
Pemudah yang ditubuhkan pada 7 Februari lalu, diberi tempoh enam bulan untuk merancang dan membuat perubahan bagi menambah baik sistem penyampaian kerajaan serta merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negara.
Abdullah berkata, Ketua Setiausaha Negara akan mengeluarkan satu pekeliling kepada jabatan kerajaan berkaitan untuk menyatakan butiran dan waktu pelaksanaan cadangan Pemudah terbabit dan yakin kakitangan perkhidmatan awam mampu melaksanakannya.
Katanya, Sidek juga akan menyediakan laporan khas kepada Kabinet berhubung cadangan lain Pemudah yang membabitkan dasar dan memerlukan pertimbangan atau kelulusan jemaah menteri.
“Laporan khas daripada Pemudah akan dibentangkan kepada jemaah menteri secepat mungkin, KSN akan menyediakan laporan itu dan kertas jemaah menteri terbabit akan dibentangkan atas nama Perdana Menteri," katanya.
Ditanya apakah cadangan yang memerlukan pertimbangan Kabinet, Abdullah berkata, ia adalah perkara yang perlu diperhalusi terlebih dulu.
“Kita cerita yang menggembirakan dulu, banyak cerita gembira yang boleh dikhabarkan. Saya cuma menyatakan ia membabitkan perubahan dasar, ia bukan untuk pasukan petugas ini untuk mengubah dasar, tetapi Kabinet,” katanya.
Bagaimanapun, apabila ditanya perkara yang dicadangkan Kumpulan Kerja Mengenai Sosio Ekonomi dan Isu Afirmatif Pemudah, Perdana Menteri menjelaskan ia berkaitan ketelusan berhubung sesuatu dasar atau peraturan yang dibuat supaya semua pihak memahaminya dan tidak timbul salah faham.
Sambil menyatakan perkara itu bukan satu masalah, Abdullah berkata, dasar yang dibuat mestilah jelas kerana generasi sekarang tidak begitu arif perkara yang dipersetujui generasi terdahulu dalam Majlis Perundingan Negara yang melahirkan Dasar Ekonomi Baru (DEB).
“Misalnya dalam satu kontrak itu ada peraturan yang memberi kemudahan kepada pemohon Bumiputera, maka catatlah supaya semua orang tahu. Apabila semua orang tahu ini adalah caranya, maka mereka boleh buat keputusan untuk masuk atau tidak,” katanya.
“Ia bukan masalah, dasar mesti jelas. Kita anggap pada waktu ini semua orang tak faham kerana sudah lama dan mungkin orang sudah lupa kerana generasi baru sekarang tidak berapa tahu perkara yang difahami generasi dulu. Kita boleh bincang, tak ada masalah,” katanya.
INFO
Pendekatan Pemudah
· Tempoh pembayaran balik cukai dipendekkan dari setahun kepada antara 14 hingga 30 hari bagi permohonan menerusi e-filing
· Tempoh proses permohonan penilaian harta akan dikurangkan
· Tempoh permohonan memulakan perniagaan dipendekkan
· Tempoh permohonan Sijil Layak Menduduki (CF) disingkatkan
· Tempoh proses oleh Jawatankuasa Pegawai Dagang dikurangkan kepada tujuh hari
· Tempoh permohonan mendaftar dan memindah hak milik tanah dipendekkan dengan pelaksanaan e-tanah pada Oktober 2007
· Usaha tingkatkan ketelusan kerajaan menerusi e-mel Ketua Setiausaha Negara, semua Ketua Setiausaha (KSU) dan Ketua Pengarah diumumkan untuk memudahkan orang ramai menghantar aduan dan pertanyaan.
.
|
|