| Seiring dengan matlamat untuk menambahbaik persekitaran perniagaan di Malaysia, Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) bersama dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melaksana inisiatif untuk menerbit Buku Panduan Pengambilan Pegawai Dagang atau Pekerja Mahir Ekspatriat (”Guidebook on the Employment of Expatriates”).
Langkah ini diambil bagi memenuhi hasrat sektor perniagaan untuk sumber maklumat yang jelas mengenai proses tersebut. Dengan penerbitan buku panduan ini, syarikat-syarikat yang memerlukan tenaga mahir asing akan mendapat maklumat komprehensif termasuk maklumat mengenai prosedur, kriteria serta tempoh pemprosesan permohonan.
Berbekalkan maklumat ini, diharapkan bahawa proses permohonan syarikat-syarikat untuk tenaga mahir asing akan berjalan dengan lebih lancar. Pengambilan tenaga kerja mahir akan membantu syarikat-syarikat di Malaysia berkembang, akhirnya menambah peluang pekerjaan dan perkongsian pengetahuan bagi tenaga kerja tempatan.
Agensi-agensi yang terlibat dalam proses tersebut memberi jaminan bahawa tahap penyampaian perkhidmatan akan diperbaiki. Matlamat JIM dan agensi-agensi lain adalah untuk menyingkatkan tempoh masa proses pengeluaran pas pekerjaan tenaga mahir asing kepada dua minggu.
Pihak JIM adalah antara agensi Kerajaan yang sentiasa berusaha untuk menambahbaik penyampaian perkhidmatan kepada rakyat. Antara penambahbaikan yang dijalankan sejak 5 tahun lalu:
Mengurangkan masa pengeluaran pasport baru dari 1-2 minggu ke tiga hari dan masa pengeluaran pasport baharu ke 1 hari. Di sesetengah pejabat Imigresen yang dilengkapkan mesin pencetak terkini, proses pengeluaran pasport telah dipendekkan kepada 2 jam
- Memudahkan proses permohonan pasport dan mengurangkan masa menunggu serta masa layanan di kaunter
- Memudahkan proses permohonan pasport serta pembayaran melalui kiosk (di tempat-tempat terpilih) yang beroperasi 24 jam sehari setiap hari. Pemohon melalui kiosk boleh mengutip pasport baru keesokan harinya
- Pemprosesan serta-merta bagi pembaharuan pas pekerjaan pembantu rumah asing
- Membolehkan permohonan pas pekerjaan dan visa bagi pekerja kurang mahir melalui laman web bagi ejen berdaftar (Sistem IDEAS)
- Membolehkan permohonan visa ‘Single Entry Visit' untuk pelancong dari India dan China melalui laman web bagi ejen berdaftar (I-Visa)
- Membolehkan penyemakan status permohonan pengambilan pekerja mahir asing/ekspatriat melalui laman web
- Pengeluaran I-Kad kepada pelajar serta pekerja asing bagi memudahkan pengesahan
Melancarkan pemeriksaan serta mengurangkan kesesakan di sempadan Malaysia-Singapura dengan pengeluaran ‘Malaysia Automated Clearance Card' bagi warga Singapura yang sering berulang alik ke Malaysia |