PM: PEMUDAH KURANGKAN BIROKRASI


Utusan Malaysia , 16 Ogos, 2007.

PUTRAJAYA 16 Ogos – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berpuas hati kerenah birokrasi agensi-agensi kerajaan yang terlibat dalam proses memberi kelulusan kepada pelbagai permohonan untuk menjalankan perniagaan di negara ini dapat dikurangkan ekoran penubuhan Pemudah.

Perdana Menteri yang menerima laporan pertama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) berkata, pasukan tersebut juga berjaya mengemukakan cadangan-cadangan yang melepasi jangkaan asal beliau dalam meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian kerajaan.

‘‘Saya sangat gembira dengan pencapaian Pemudah, malah apa yang dilakukan itu melepasi jangkaan saya ketika memutuskan untuk menubuhkan jawatankuasa itu dulu.

‘‘Kejayaan seperti ini sudah tentu membantu mengurangkan penangguhan dan akan mempercepatkan permohonan dan kelulusan lesen-lesen.

“Ini bermakna ia juga akan mengurangkan rasuah dan sogokan serta kecenderungan untuk meminta wang atau suapan dalam bentuk lain dan pada masa yang sama mengurangkan kos untuk menjalankan perniagaan,” kata Abdullah pada sidang akhbar selepas mendengar taklimat daripada anggota-anggota Pemudah di pejabatnya di sini hari ini.

Dalam majlis taklimat itu, Perdana Menteri menerima laporan penuh hasil kerja Pemudah selepas enam bulan jawatankuasa tersebut ditubuhkan.

Pemudah yang ditubuhkan pada 7 Februari lalu hasil inisiatif Abdullah dipengerusikan bersama oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan yang mewakili sektor awam sementara sektor swasta diwakili oleh Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Tan Sri Yong Poh Kon.

Pasukan itu memberikan tumpuan kepada laporan Bank Dunia berhubung kerenah birokrasi yang dihadapi oleh pelabur-pelabur di negara ini.

Menurut Perdana Menteri, Pemudah telah mendapat kerjasama penuh daripada pegawai-pegawai kerajaan dalam merangka cadangan bagi mengurangkan tempoh kerajaan membuat keputusan dan menyediakan kemudahan-kemudahan yang diperlukan pelabur.

Katanya, cadangan-cadangan Pemudah yang menyentuh perkara dasar akan dibawa kepada Kabinet terlebih dahulu untuk diluluskan sebelum ia dapat diumumkan.

Bagi cadangan yang tidak membabitkan perkara dasar, beliau berharap ia dapat dilaksanakan dengan serta-merta.

Abdullah meminta Mohd. Sidek mengeluarkan pekeliling kepada semua jabatan kerajaan tentang pelaksanaan syor-syor penambahbaikan yang dikemukakan oleh Pemudah.

‘‘Pelaksanaannya boleh dipercepatkan dan sudah tentu ada borang yang perlu diubah serta dicetak, jadi ia akan mengambil sedikit masa.

‘‘Saya yakin kakitangan kerajaan dapat melaksanakannya kerana ia lebih mudah berbanding sebelum ini,” kata beliau.

Sambil meminta anggota Pemudah terus memainkan peranan dalam mencadangkan penambahbaikan dan memantau keberkesanan pelaksanaan cadangan-cadangan jawatankuasa itu, Abdullah berkata, sebarang syor yang menyentuh dasar afirmatif perlu diterangkan secara telus dan jelas.

Perdana Menteri berkata, langkah itu perlu bagi memudahkan semua pihak membuat keputusan sama ada untuk menyertai sesuatu projek yang dilaksanakan oleh kerajaan.