“Sepanjang tahun lalu, ahli-ahli pasukan petugas Pemudah telah bekerjasama rapat dengan beberapa agensi kerajaan untuk meningkatkan penambahbaikan perkhidmatan masing-masing,” katanya dalam satu sidang akhbar mengumumkan rekod pencapaian dan melancarkan Laporan Tahunan Pemudah kali pertama di sini hari ini. Turut hadir ialah Pengerusi Bersama Pemudah yang mewakili sektor swasta, Tan Sri Tong Poh Kon.
Pemudah yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bertujuan membentuk satu mekanisme kerjasama antara sektor awam dan swasta bagi meningkatkan mutu kemudahan menjalankan perniagaan di Malaysia ditubuhkan pada 7 Februari 2007.
Menurut Mohd. Sidek, cabaran utama sektor perkhidmatan awam kini ialah mengkaji semula proses kerja, melibatkan diri secara aktif dalam dialog dan perundingan, melaksanakan piawaian dalam setiap penyampaian perkhidmatan dan memastikan piawaian ini dikuatkuasa dan disenggarakan.
“Dalam melaksanakan perkara ini, adalah perlu semua rakyat Malaysia bekerjasama dengan ahli-ahli sektor awam dari segi memberi kritikan dan maklum balas yang membina,” katanya.
Sementara itu, Poh Kon berkata, Permudah telah menggandakan usaha untuk memperbaiki persekitaran perniagaan dan daya saing negara.
“Misi Pemudah adalah untuk mencapai satu tanda aras bertaraf global berfokuskan pasaran melalui perkhidmatan awam yang inovatif dan proaktif.
“Teras utamanya adalah kesegeraan, kerjasama erat sektor awam-swasta, memudah cara, tidak menjadi penghalang kepada syarat dan peraturan yang bersesuaian serta tidak bertolak-ansur terhadap korupsi,” katanya.
Katanya, peningkatan yang jelas telah dicapai sejak penubuhan Pemudah adalah dalam bidang pentadbiran hartanah, cukai dan kerajaan tempatan.
“Usaha-usaha untuk meningkatkan ketelusan dan integriti perkhidmatan awam juga boleh diakses secara terus kepada pegawai-pegawai kanan kerajaan menerusi laman web.
“Inisiatif sebegini telah menjana satu perubahan besar terhadap sistem penyampaian perkhidmatan,” katanya.
Menurut beliau, selain itu, langkah meningkatkan kecekapan perkhidmatan beberapa agensi utama seperti Jabatan Imigresen dan Lembaga Hasil Dalam Negeri serta hubungan aktif dengan Bank Dunia dalam mengenalpasti masalah, boleh meningkatkan kecekapan dan kedudukan. |