Utusan Malaysia , 22 Ogos, 2007.
KUALA LUMPUR 21 Ogos – Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) akan memastikan proses penambahbaikan pengurusan sektor awam dan swasta dapat dilakukan secara berterusan dan bukan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini sahaja.
Ahli jawatankuasanya, Tan Sri Ismail Adam berkata, proses tersebut bagaimanapun memerlukan masa dan pelaksanaannya setakat ini masih belum menyeluruh.
"Pasukan ini ditubuhkan bukan bererti sektor awam lemah dalam pengurusan, tetapi memerlukan penambahbaikan.
Jika diberi contoh seorang pelari pecut 100 meter yang berjaya mencatatkan masa 10.9 saat, kita mahu seorang lagi pelari pecut lagi berjaya mencatatkan masa lebih baik lagi iaitu kurang dari 9 saat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang berpuas hati dengan Pemudah kerana berjaya mengurangkan kerenah birokrasi agensi-agensi kerajaan dalam memberi kelulusan kepada pelbagai permohonan pelanggan.
Pemudah yang mempunyai ahli seramai 23 orang ditubuhkan pada 7 Februari lalu, hasil inisiatif Perdana Menteri yang dipengerusikan bersama oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan bagi mewakili sektor awam sementara sektor swasta oleh Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Tan Sri Yong Poh Kon.
|