PUTRAJAYA: Skop tugasan Pasukan Petugas Khas Pemudah Cara Perniagaan (Pemudah) akan diperluaskan lagi bagi mencakupi kepentingan rakyat, di samping tumpuan terhadap urusan sektor swasta dan awam, kata Datuk Seri Najib Razak. Perdana Menteri berkata, keputusan tersebut selaras dengan konsep 1Malaysia yang mengutamakan kehendak rakyat. Kataanya, perluasan itu akan membantu kerajaan meningkatkan pencapaian agar matlamat 1Malaysia dapat direalisasikan dalam erti kata sebenar. "Skop Pemudah bukan sahaja tertumpu terhadap cara Pemudah boleh membantu sektor swasta dalam bentuk kerjasama antara sektor swasta dan awam, malah bagaimana Pemudah boleh melihat daripada perspektif rakyat. "Apakah kemudahan yang dilaksanakan oleh kerajaan yang menyentuh kepentingan rakyat secara langsung perlu dilakukan penambahbaikan dan perubahan yang nyata," katanya kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat bersama pasukan itu di Pejabat Perdana Menteri di sini, hari ini. |