PUTRAJAYA: Kerajaan akan mengumumkan kadar pertumbuhan negara yang disemak semula selepas Bank Negara membentangkan laporan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama, kata Datuk Seri Najib Razak. "Saya akan mengumumkan angka KDNK yang baru sebaik saya mengetahui angka suku pertama," kata Perdana Menteri kepada pemberita selepas mesyuarat bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) di Pejabat Perdana Menteri di sini, hari ini. Malaysia mengunjurkan kadar pertumbuhan antara -1 dan +1 untuk tahun ini berikutan kelembapan ekonomi global. Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan bersetuju untuk menyemak semula beberapa garis panduan Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC) sebagaimana yang dicadangkan Pemudah pada pertemuan hari ini. Katanya, kerajaan pada dasarnya merasakan bahawa sesetengah garis panduan itu tidak lagi diperlukan tetapi penekanan terhadap usaha untuk menghsilkan lebih banyak usahawan Bumiputera perlu diteruskan. Beliau bagaimanapun tidak menyatakan dengan khusus garis panduan yang akan dikaji semula itu tetapi berkata Pemudah akan melihat dulu isu berkenaan. Ditanya bagaimana langkah Malaysia meliberalisasi 27 sektor subperkhidmatan dan sektor kewangan boleh menyediakan persaingan yang sama untuk peserta tempatan, Najib berkata semua rakyat Malaysia menyokong sasaran masyarakat yang sama dari segi sosial. "Persoalannya sekarang ialah bagaimana kita melaksanakannya. Kita memutuskan untuk tidak mengikut cara tradisional. Sebagai contoh dengan menyokong atau menggalakkan syarikat Bumiputera tulen berbanding hanya mempunyai 30 peratus ekuiti tidak memberi makna jika (Bumiputera) hanya menjadi rakan kongsi tidur. "Tetapi jika anda mengawal perniagaan, mungkin kecil dalam jumlahnya tetapi usahawan yang berpotensi berkembang sehingga ke peringkat antarabangsa adalah lebih baik daripada hanya mempunyai 30 peratus dalam mana-mana syarikat," katanya. - Bernama |