KUALA LUMPUR 1 Sept. - Bilangan hakim di negara ini akan dikurangkan secara berperingkat-peringkat dengan pengenalan empat sistem berkomputer di mahkamah bagi membolehkan setiap kes diselesaikan dalam tempoh yang singkat. Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi berkata, pelaksanaan sistem tersebut membolehkan para hakim yang mengendalikan kes-kes tertunggak memberikan tumpuan lebih kepada pengendalian kes mereka tanpa diganggu dengan kes baru. Empat sistem tersebut ialah E-Filing, Sistem Pengurusan Kes (CMS), Transkripsi Rakaman Mahkamah (CRT) dan Sistem Pengurusan Aturan (QMS). ''Kes-kes lama akan berjalan mengikut aturan pengendalian cara lama manakala hakim baru tertumpu untuk mengendalikan kes-kes baru. Sebaik sahaja kes-kes tertunggak diselesaikan, jumlah hakim juga dapat dikurangkan. ''Apa yang perlu sekarang, kita perlu menjadikan sistem ini lebih efisien sebelum jumlah hakim dapat dikurangkan,'' katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan dua Mahkamah Tinggi Dagang Baru (NCC) di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini hari ini. Turut hadir pada majlis perasmian tersebut ialah Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria; Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk James Foong dan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Md. Raus Sharif. Pada masa ini, terdapat kira-kira 133 orang hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi dan Pesuruhjaya Kehakiman yang bertugas di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. Negara ini mempunyai lebih 400 buah mahkamah termasuk mahkamah rendah. Ujar Zaki, sistem perkomputeran itu yang menelan belanja RM69 juta akan turut dibangunkan di 166 buah Mahkamah Tinggi termasuk di Selangor, Pulau Pinang dan Johor sebelum penghujung tahun ini. Beliau menyatakan, pelaksanaan sistem tersebut dapat mengurangkan kos mahkamah yang ketika ini anggaran perbelanjaan termasuk elaun kenderaan dan pembantu setiap hakim adalah melebihi RM50,000 sebulan. Mengenai penubuhan NCC, Ketua Hakim Negara berkata, kes-kes dagang yang didaftarkan mulai hari ini akan didengar oleh dua mahkamah tersebut manakala kes-kes lama akan terus didengar oleh hakim Mahkamah Tinggi Dagang sedia ada. Ujarnya, penubuhannya bertujuan meningkatkan kecekapan penyelesaian kes-kes melibatkan kontrak antara syarikat yang merupakan elemen penting dalam pembangunan ekonomi negara sekali gus menarik lebih banyak pelaburan asing. Beliau berkata, setiap kes akan dibicarakan dalam tempoh kurang enam bulan dari tarikh ia didaftarkan manakala kes-kes yang tidak bersedia untuk dibicarakan, jika perlu akan dibatalkan. Sementara itu, Presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan yang turut hadir pada majlis itu menyambut baik usaha untuk menaik taraf sistem pengurusan mahkamah di negara ini. Beliau menyatakan, perlaksanaan sistem-sistem tersebut dapat membantu pihak peguam dalam menyelesaikan kes dengan lebih pantas. |